Tuesday, March 29, 2011

Kesan Vandalisme

     Terdapat banyak kesan yang dapat dilihat oleh fizikal dan juga emosi. Kesan vandalisme bukan dirasai oleh individu sahaja malah masyarakat sekeliling dan negara juga memberi impak yang teruk akibat perbuatan yang tidak bermoral dan menyusahkan semua pihak. Vandalisme boleh memberi kesan kepada individu, masyarakat, dan negara.

     Kebanyakan individu yang melakukan vandalisme hanya untuk melepaskan geram dan sesetengahnya untuk memenuhi kepuasan hati. Hal demikian memberikan kesan kepada individu untuk melakukan perbuatan yang sama itu lagi jika masalah ini masih berterusan . Hal ini secara tidak lansung akan menyebabkan perkara yang lebih teruk akan berlaku seperti merompak atau membunuh.

     Vandalisme sering dipandang remeh oleh masyarakat setempat. Mereka hanya berdiam diri sedangkan vandalisme berlaku di depan mata mereka. Akhirnya masyarakat juga yang merana akibat aktiviti yang terkutuk itu. Masyarakat susah untuk membuat perhubungan semasa dalam keadaan kecemasan. Contohnya telefon awam rosak semasa rumah sedang terbakar. Selain itu, masyarakat tidak selesa ketika menggunakan harta benda awam yang lain. Contohnya basah ketika menunggu bas kerana atap di perhentian bas rosak sebab tidak dapat menghalang hujan yang turun. Contengan pada dinding tandas awam memburukkan dan mendorong kepada generasi muda untuk meniru gejala tidak sihat ini.
    
      Banyak fenomena vandalisme yang boleh menjejaskan mata memandang dan ini sudah tentu menjejaskan imej negara .Jumlah kerugian akibat perbuatan vandalisme ini amatlah besar. Peruntukan kewangan yang digunakan untuk mengganti baru dan membaik pulih kemudahan-kemudahan yang dirosakkan itu lebih baik sekiranya digunakan untuk melaksanakan projek lain yang lebih berfaedah. Hal ini sudah tentu dapat memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Gambar-gambar menunjukkan vandalisme
Kepada mereka, mungkin melukis graviti pada dinding sejuk dipandang mata, tetapi tahukah mereka bahawa perkara sebegini hanya mengotorkan dinding .
Perbuatan seperti ini hanya merugikan wang kerajaan kerana mereka terpaksa berbelanja ribuan wang untuk memperbaikinya. Sebaliknya, kita hanya menggoyang kaki, menggunakan kemudahan awam yang disediakan dengan mudah.

Inilah perbuatan manusia yang mengamalkan sikap alpa. Mereka langsung tidak mempedulikan akan perasaan orang lain. Masyarakat hanya mementingkan diri sendiri. Apabila diperlukan, mereka menggunakan kemudahan awam, apabila tidak diperlukan, mereka merosakkannya. Sikap seperti ini hanya seperti pepatah Melayu, 'selepas isi dimakan, kepah dibuang'.

Perbuatan seperti ini boleh menjejaskan imej pemimpin negara. Hal ini secara tidak langsung mempengaruhi imej negara.

Peranan agensi yang bertanggungjawab dalam menangani gejala vandalisme
     Badan kerajaan juga turut memainkan peranan dalam menangani gejala vandalism. Di ibu negara, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya sikap memelihara harta benda awam ini dengan membentuk Jawatankuasa Anti vandalisme yang turut dianggotai oleh jabatan lain dan agensi kerajaan. Menyedari hakikat bahawa remaja merupakan aset yang penting dan pemimpin generasi wawasan yang akan menerajui negara pada masa hadapan, maka Jawatankuasa Anti Vandalisme ini telah mengambil langkah pertama dengan melibatkan sekolah dan para remaja untuk turut sama menjayakan kempen ini. Jabatan Pendidikan sendiri telah menganjurkan “ Harta Benda Awam Milikku-Milikmu “. Pertandingan seperti ini penting untuk menanamkan sifat bertanggungjawab dan menyemaikan perasaan sayang terhadap harta benda awam. .

     Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis-majlis perbandaran serta Bandaraya juga turut memberi peranan penting bagi menangani malah vandalisme yang semakin berleluasa pada akhir-akhir ini. Pertubuhan Persatuan Pencegah Jenayah telah ditubuhkan di setiap sekolah bagi mengurangkan kadar masalah sosial dalam kalangan remaja.

     Selain itu, badan bukan kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam menangani gejala vandalism. Penubuhan Rukun Tetangga merupakan salah satu badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab mengelakkan gejala vandalisme berlaku terutamanya berdekatan dengan kawasan perumahan mereka. Jawatankuasa Perumahan yang berkenaan perlu bergabung tenaga untuk membuat kawal selia di kawasan masing-masing. Setiap persatuan yang bukan badan kerajaan dan juga Rukun Tetangga telah diberi satu kawasan untuk dijaga dan di selenggara. Maka berharap agar jenayah ini berkurangan dari semasa ke semasa.

GEJALA VANDALISME

Kini, gejala vandalisme di negara Malaysia semakin menjadi-jadi. Gejala vandalisme ini sering dikaitkan dengan remaja. Hal ini kerana, golongan remaja ini mudah terpengaruh dengan sesuatu gejala atau budaya yang tidak sihat terutamanya gejala vandalisme. Maksud vandalisme menurut kamus dewan adalah satu bentuk jenayah di sisi moral. Sebarang perbuatan seperti menconteng, mengotori, atau merosakkan harta benda awam dianggap sebagai vandalisme. Vandalisme juga dikenali sebagai gejala laku musnah iaitu tabiat seseorang membinasakan harta benda awam dan juga harta benda orang lain. Perkataan vandalisme ini berasal daripada nama sebuah puak di Eropah yang dikenali sebagai Vandal. Kebiasaannya, gejala vandalisme ini dianggap sebagai satu bentuk jenayah, tetapi pada keadaan tertentu vandalisme ini juga merupakan satu bentuk jenayah ritual yang dilakukan oleh golongan manusia yang tidak puas hati terhadap keadaan masyarakat. Motif kejadian vandalisme biasanya terletak pada aspek emosi. Vandalisme ini dianggap sebagai suatu cara untuk melepaskan geram atau pun cara untuk menghilangkan kebosanan semata-mata. Walaupun mereka dianggap ringan, tetapi masyarakat awam dan terutamanya kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat daripada vandalisme tersebut.
Faktor-faktor berlakunya gejala vandalisme
     Pengaruh rakan sebaya merupakan faktor utama berlakunya vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Rakan sebaya merupakan komponen penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku seseorang remaja tersebut, terutamanya remaja yang tercicir dan menghadapi masalah dalam institusi keluarga mereka. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme ini merupakan remaja dalam kumpulan. Kumpulan ini tidak mempunyai tujuan dan terjebak dalam budaya lepak. Apabila mereka berkumpul timbullah pelbagai idea yang tidak baik termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkan harta benda awam tersebut.
     Ibu bapa ialah pendorong kepada sifat vandalisme di kalangan remaja. Contohnya, ketika memandu ibu bapa membuang sampah atau kulit buah-buahan seperti rambutan dan limau di samping tidak menghiraukan papan tanda had kelajuan. Sesetengah remaja yang terjebak dalam gejala vandalisme berasal daripada keluarga bermasalah atau keluarga yang
mengamalkan budaya hidup negatif. Selain itu, kurangnya kawalan dan bimbingan yang sempurna daripada ibu bapa juga antara faktor utama mendorong remaja terjebak dalam gejala negatif ini.

     Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.

     Sikap tidak ambil peduli masyarakat juga merupakan faktor berlakunya gejala vandalisme. Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang. Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Vandalisme biasanya banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.

Langkah-langkah
     Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih daripada setahun jika disabitkan kesalahan. Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.
     Ibu bapa berperanan memberi tunjuk ajar kepada golongan remaja tentang kepentingan harta benda awam. Ibu bapa semestinya menerangkan kepada anak-anak tentang pentingnya menganggap harta benda orang lain sama seperti harta sendiri. Secara tidak langsung sekiranya anak sudah diingatkan dengan kepentingan ini maka sudah tentu masalah vandalisme tidak seteruk hari ini. Ibu bapa perlu mengasihi dan mendampingi anak-anak mereka supaya tidak berlaku kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Kesedaran perlu diterapkan untuk membentuk jiwa remaja yang sihat dan fikiran yang matang sebelum melangkah ke alam dewasa.

     Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu, anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah juga patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam .Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Contohnya menerangkan kepada pelajar mengenai perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Kesedaran seumpama itu sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab terhadap harta benda awam.
     Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan yang penting dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran dalam memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa jua bentuk rancangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa. Media massa juga berperanan dalam membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.

MENGEKANG BUDAYA VANDALISME DI DALAM MASYARAKAT


Aktiviti dan budaya vandalisme yang semakin berleluasa di negara kita adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh semua masyarakat serta tidak boleh dimaafkan begitu sahaja kerana ianya jelas berlawanan dengan moral dan akhlak serta ajaran agama. Perbuatan merosakkan harta benda awam dengan niat jahat ini atau lebih dikenali dikenali sebagai vandalisme kini dilihat semakin meruncing dan bagaikan tidak boleh dibendung lagi terutamanya di sekitar bandar-bandar besar di negara kita.

Aktiviti vandalisme ini begitu menyakitkan hati dan memalukan semua pihak terutamanya kepada masyarakat luar seperti pelancong yang datang bertandang ke negara kita. Antara contoh-contoh vandalisme yang terdapat di sekitar bandar-bandar besar di negara kita adalah seperti perbuatan merosakkan telefon awam, tandas awam, peralatan permainan di taman rekreasi, menconteng dinding, membuang sampah merata-rata, mencuri kabel, mencuri besi termasuklah kepala paip, meter air, penutup longkang, pagar besi penghadang jalan dan sebagainya.

Kamus Dewan Edisi Empat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendefinisikan vandalisme sebagai perbuatan membinasakan atau merosakkan harta benda awam atau persendirian. Manakala dari segi sejarah, perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi. Secara umumnya vandalisme juga membawa maksud membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Perbuatan yang tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan ini perlu dikekang segera dan semua pihak hendaklah mencari jalan penyelesaiaan yang terbaik bagi mengatasi masalah sosial ini, apatah lagi aktiviti negatif ini juga turut melibatkan generasi muda termasuklah pelajar sekolah. Golongan pelajar yang merupakan modal insan dan asset penting negara ini tidak boleh dibiarkan terdedah dengan budaya negatif vandalism yang merugikan serta tidak berfaedah ini dan mereka juga perlu dipantau dari masa kesemasa agar menjauhi serta membencinya.

Perbuatan vandalisme juga perlu diperangi oleh semua pihak agar ianya tidak menjadi budaya di dalam masyarakat kita dan merugikan banyak pihak yang terlibat serta menyusahkan orang ramai kerana melibatkan kepentingan dan keperluan awam termasuklah sekolah, pusat rekreasi, stesen perhentian awam seperti bas, kereta api, komuter dan sebagainya di mana vandalisme menyebabkan pihak berkuasa terpaksa memperbaiki dan mengganti kerosakan serta kecurian yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini.

Islam sendiri menghalang dan menegah perbuatan vandalisme yang boleh dikategorikan sebagai perbuatan fasad (kerosakan) seperti mana yang ditegaskan di dalam al-Quran di mana Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi, mereka menjawab: Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan. Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya". (Al Baqarah: ayat 11-12)

Oleh yang demikian, bagi mengekang budaya dan aktiviti songsang ini, maka penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang yang tegas perlu dilaksanakan terhadap pesalah vandalism di mana di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991 memperuntukkan sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan. Walaupun peruntukan undang-undang ini nampak agak ringan, namun mungkin sudah tiba masanya kita mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah vandalisme seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara maju lain.

Pelaksanaan undang-undang lain seperti menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat sosial dan masyarakat misalnya seperti mencuci dan mengecat tandas awam, membersih kawasan awam seperti taman permainan dan sebagainya juga wajar dilaksanakan di mana mereka juga boleh diarahkan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat agar tidak mengulangi perbuatan tersebut di masa hadapan serta menjadi teladan kepada semua. Ini adalah kerana aktiviti vandalisme bukan perkara main-main dan boleh dianggap mudah oleh segelintir masyarakat kita terutamanya generasi muda.

Tiada kesedaran sivik dan kurangnya nilai murni di kalangan segelintir masyarakat serta pengaruh rakan sebaya juga menjadi faktor kes vandalisme membabitkan harta benda awam terus berlaku di mana memerlukan kerjasama semua pihak dalam usaha mengatasinya. Peranan ibu bapa, guru-guru, tokoh masyarakat, alim ulama, ahli politik dan sebagainya wajar digembleng bagi mencari formula paling berkesan mengekang budaya kuning yang tidak sihat ini. Pihak media juga sama ada cetak atau elektronik perlu memainkan peranan dalam usaha memberi kesedaran kepada masyarakat tentang masalah kronik ini agar tidak menjadi barah di dalam masyarakat di negara kita.

Rujukan

Terjemahan al-Quran
S.M Mohamed Idris. 2008. Kita masih bergelut dengan vandalisme, Utusan Malaysia, 24 April
Vandalisme kian meruncing, Utusan Malaysia, 13 Julai 2010